* Pengalaman blogger sendiri mengamalkan madu Tualang setiap hari

~ Satu sudu setiap hari ~

Salam,
Saya telah selalu berkongsi pengalaman saya mengamalkan madu Tualang setiap hari di forum-forum internet dan juga berkongsi secara 'live'.

Kini saya rasa ada baiknya saya berkongsi di blog ini supaya tak perlu lagi saya menaip berkali-kali.

Saya mula mengamalkan semula madu selepas anak bongsu mencapai umur setahun (Januari 2009)(Sebelum itu, saya amalkan tapi terhenti-henti).

Anak bongsu saya lahir pada bulan Januari 2008 sebagai bayi pra-matang (premature baby)(minggu ke-33 saya mengandungkannya) dan saya mendapati paru-parunya sedikit alah. Walaupun dia menyusu badan penuh sehingga berumur 1 setengah tahun lebih,(walaupun saya bekerja, saya masih boleh menyusu-badankannya,) saya dapati dia masih senang alah, dan akibatnya, dia selalu selsema dan batuk. (Bayi yang menyusu badan sepatutnya mempunyai paru-paru yang lebih kuat, dan kuat daya tahan penyakit.)

Seperti sesetengah bayi, si kecil ini tidak suka makan ubat. Dan saya pula jenis ibu yang cuba untuk tidak memaksa anak.

Disebabkan kerisauan tentang kesihatannya, ditambah wabak H1N1/selsema babi/swine flu, saya memang dapat kekuatan untuk mengamalkan minum madu untuk anak kecil saya. Dan apabila membancuh untuk anak saya, saya juga bancuhkan terus untuk kami sekeluarga.

Hasilnya, memang saya dapat amalkan setiap hari selama lebih 6 bulan berturut-turut. (6 bulan kerana selepas 6 bulan, tibalah bulan Ramadhan, dan disebabkan kekangan masa untuk kita makan-minum, sukar untuk saya terus mengamalkan madu.)

Di sini, saya ingin berkongsi dengan anda pengalaman saya tentang amalan minum madu.
Sebelum itu, saya ingin anda tahu, bahawa lebih lama anda mengamalkan madu, lebih banyak khasiat yang anda akan rasa. Saya pecahkan pengalaman ini kepada pengalaman jangka masa pendek/short term experience dan pengalaman jangka masa panjang/long term experience.

Jangka masa pendek ialah kurang 6 bulan, sementara jangka masa panjang ialah lebih 6 bulan (sebenarnya mungkin kurang, tapi saya cuma sedar selepas 6 bulan mengamalkan minum madu).

Tambahan pengalaman pada 10 Jan 2012:
Saya baru saja melahirkan anak keempat pada Julai 2011.
Saya menyusukan anak dan pada masa yang sama mengamalkan minum madu setiap pagi.
Pengalaman terbaru tentang madu bagi saya ialah adakalanya apabila anak sendawa, dia tidak muak susu seperti kebiasaan bayi muak susu, sebaliknya dia mengeluarkan cecair berbentuk lendir bercampur sedikit susu.  Pada mulanya saya tidak ambil perhatian, tetapi selepas beberapa kali terjadi, saya rasakan ini ialah cara lendir dibuang daripada bayi hasil pengambilan madu yang sampai ke bayi dari air susu ibu.

Untuk pengetahuan anda, bayi yang berumur kurang 6 bulan TIDAK perlu diberi apa-apa selain air susu ibu.  Tidak perlu air glukos, air kosong atau apa-apa saja.  Mereka hanya perlu diberi air susu ibu.  Tetapi, kebaikan sesuatu bahan dapat disampaikan kepada bayi melalui pengambilan bahan itu oleh si ibu dan si ibu menyusukan anaknya.

Saya sangat gembira kerana dapat membantu bayi saya membuang lendir daripada dalam badannya, kerana lendir inilah yang boleh membawa kemudaratan kepada bayi saya. 

*************************************************************************************

** Pengalaman Jangka Masa Pendek

1. Sebagai gantian multi-vitamin. Sebelum mengamalkan madu, saya mengambil multivitamin daripada Amway (Nutrilite). (Saya mengambil Nutrilite kira-kira 6 tahun lepas.) Selepas menukar amalan mengambil Nutrilite kepada minum air madu, saya dapati hasilnya sama, iaitu tidak terlalu penat selepas seharian bekerja.

2. Untuk anak-anak, juga boleh jadikan sebagai multivitamin dan pembuka selera makan.

3. Untuk anak-anak dan orang dewasa, apabila selsema dan/atau batuk, cepat sembuh. Untuk anak bongsu saya, ada kalanya dia batuk dan kami tidak langsung memberi dia ubat batuk/selsema. Alhamdulillah, tidak melarat, malahan cepat sembuh berbanding beri ubat selsema/batuk. (Rekod anak bongsu saya untuk selsema ialah 3 hari saja, dan sembuh.) InsyaAllah terus-terusan begini.

4. Lendir di tekak/kerongkong hilang dan tekak rasa bersih.

5. Gigi dan mulut juga rasa bersih. Sisa makanan mudah keluar daripada celah-celah gigi.

6. Tahap kesihatan meningkat dan jarang sakit.

7. Banyak buang angin.

8. Lawas buang air besar.

9. Kadar metabolisma meningkat.

10. Sebagai pelembap bibir yang sangat berkesan.

11. Ubat luka-luka kecil.

12. Ubat mulut pecah/blister/ulser dalam mulut.


*************************************************************************************

** Pengalaman Jangka Masa Panjang
(Selepas lebih 6 bulan mengamalkan)
Nota: Ini ialah pengalaman saya sendiri.

1. Selepas lebih 6 bulan mengamalkan madu, saya dapati, jika saya sakit tekak (pada awal peringkat jangkitan), saya akan batuk dan mengeluarkan benda-benda kotor sewaktu menggosok gigi. Pada awalnya, saya tidak sedar akan hal ini, tapi selepas beberapa kali terjadi, baru saya sedar bahawa apa yang keluar sebenarnya benda kotor dan bukan sisa sarang/honey comb dalam madu lebah.

2. Jika termakan makanan yang sudah kurang elok/hampir basi, pengalaman saya ialah saya akan termuntah makanan yang tidak elok ini. Pengalaman ini ialah saya termakan sayur bendi yang sudah kurang elok selepas terlepas waktu sahur. (Waktu itu bulan Ramadhan lepas dan saya uzur, jadi saya makan sayur itu selepas beberapa lama.) Selepas kira-kira 3 suapan sayur bendi, saya was-was tahap kualitinya, jadi saya berhenti makan bendi, sebaliknya terus makan nasi dan lauk lain. Selepas siap makan, dalam masa kira-kira 10 minit, saya termuntah. Dan yang keluar cumalah sayur bendi yang saya telah makan tadi. Nasi dan lauk lain tidak keluar. Inilah kali pertama saya sedar apa yang terjadi sebenarnya. (Sebelum ini, saya juga pernah termuntahkan makanan seperti itu, tapi saya tidak tahu kenapa.) Daripada insiden ini, barulah saya faham bagaimana antara cara madu dapat jadi penawar. Kadangkala, madu jadi penawar dengan cara mengeluarkan semula makanan yang tidak elok untuk kita. Subhanallah.

3. Ada masa-masanya, akan keluar benda kotor yang berbau busuk daripada saluran hidung/kerongkong saya. Apabila benda ini mahu keluar, memang saya dapat rasakan ada sesuatu akan keluar. Dan ia akan keluar melalui mulut. Kita cuma akan rasa seperti ada sesuatu dalam air liur yang ingin ditelan tapi sebaliknya saya akan ludahkan kerana ada bendasing. Boleh dikatanya rasanya cumalah seperti kita mempunyai sisa makanan yang tersekat di kerongkong dan kita ingin keluarkan. Bagi saya, cumalah seketul kecil (kadangkala seperti saiz separuh sebiji beras), dan benda ini berbau busuk. Selepas ia keluar, ada rasa lega di tekak. Saya bukanlah orang yang yang mempunyai asma/lelah/sensitif/resdung. Secara amnya, saya tiada masalah alergi langsung, cuma saya akan selalu bersin jika berhabuk. Tetapi saya mengalami proses pembersihan hidung/kerongkong ini. Bayangkan apa yang anda akan rasa jika anda mempunyai lelah/asma/resdung.


Sekadar berkongsi pengalaman,
Nid@ Madu Lebah

Comments

  1. Saya baru amalkan makan madu ni...untuk proses pelawasan saya memang akui madu memang mujarab..dulu saya selalu sakit bila period tp alhamdulillah bila makan madu sakit tu kurang..untuk pembuangan air besar pun mudah...berak memang lawas.. :)

    ReplyDelete
  2. hai ain,
    Alhamdulillah. Terima kasih kongsikan khasiat madu di sini.

    ReplyDelete
  3. mmg niat nk amalkan minum madu dari dulu tp sering x kesampaian. baru ni nk cuba istiqMh minum sebaik bangun dari tidur sebelum gosok gigi. anak saya mmg tlh saya amalkan bermula 2 bln lg slps abes pntg. disebabkan x yakin dgn susu formula dan susu badan kurg, saya gntikn dgn air madu spnjg jam saya bekerja, 7 jam shari. kesannya, proses pembuangan air besar sgt lncr. pertumbuhan dan perkembangan normal. alhamdulillah... tp sy x bg madu sebarangan, cuma keluaran naqia corporation je.

    ReplyDelete
  4. madu lebah liar dari pokok tualang dipanggil MADU TUALANG. madu lebah liar dari pokok lain dipanggil MADU apa?

    ReplyDelete
  5. Sya pla 100% bebas darah tinggi lps amal madu..x control mkn pn tp mmg btol dh bebas dr mkn ubat...

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum
    saya nak kongsi boleh kalau Ada sakit kanser kronik, darah tinggi, cyst , ketumbuhan dan buah pinggang bocor Cuba berubat dengan en mohd zuhairi bin Noordin (017-4687570) .. insya Allah berkesan terutama untuk org yang tak boleh makan ikan ayam memang elok amalkan herba ni protein tak akan bocor dan kencing Akan kembali normal balik..dah banyak dah testimoni sembuh kanser tahap
    1 2 3 dan 4 nanti boleh rujuk tengok testimoni dan you tube apa pun cuba rujuk tgok 0174687570 en mohd zuhairi bin noordin..jom kita sebar2 kan pada pesakit

    ReplyDelete

Post a Comment